Thursday, 22 December 2011

Berita Berkenaan Tumpahan Minyak Kesan Daripada Aktiviti Perkapalan Globalisasi .

Thursday, 22 December 2011


Tumpahan mengancam -- Sisa minyak musnahkan habitat laut di perairan Johor

PASIR GUDANG 26 Mac - Tumpahan kira-kira 50 tan metrik minyak dari kapal 'Bunga Cempaka 1' di limbungan Malaysian Shipyard Engineering Sdn. Bhd. (MSE) di sini semalam semakin membimbangkan apabila ia merebak ke kawasan strategik selain dikhuatiri memusnahkan habitat laut dan menjejaskan pendapatan nelayan pantai di sekitar kawasan berhampiran. Walaupun  pihak  berkuasa  bekerja keras  membendung  kesan tumpahan  minyak, arus  kuat  air  laut  telah  membawa  minyak  ke  kawasan  lebih  luas  termasuk  di  kawasan  strategik   seperti  Stesen Janakuasa  Elektrik  Sultan  Iskandar  dan  kawasan  Sungai  Masai,  di barat   MSE.   Sisa   minyak   jelas kelihatan   pada  permukaan  air laut, batu  dan  pasir  di  sepanjang  pantai  kawasan  berkenaan. Malahan  beberapa  nelayan  pantai  memberitahu  jaring  mereka  telah  rosak  manakala  hasil tangkapan  terjejas  teruk.
Di sebelah timur pula, tumpahan minyak itu telah dibawa arus sehingga ke laut berdekatan Kampung Pasir Putih, dua kilometer dari sini.

Pencemaran terbabit dikatakan kes tumpahan minyak terbesar di Johor sejak tiga tahun kebelakangan ini. Malah pencemaran ini melibatkan kawasan Pasir Gudang, yang turut menempatkan Pelabuhan Johor, selain beberapa kampung nelayan di pesisiran pantai di sekitarnya. Ketua  Perikanan Daerah, Mohd. Shalan  Jasman berkata, tinjauannya mendapati pencemaran minyak itu telah merebak sejauh 4.8 kilometer. "'Minyak yang tumpah itu dikategorikan sebagai tebal berdasarkan warnanya yang hitam dan pekat serta sukar untuk dilarutkan,'' katanya ketika ditemui di sini. Akibatnya, kata beliau, beberapa spesies hidupan laut seperti ikan dan ketam mula mati, dipercayai kerana pencemaran terbabit. Pencemaran tersebut dijangka turut memberi kesan buruk kepada hidupan marin lain termasuk mamalia dugong yang dipercayai menggemari kawasan perairan berdekatan khususnya di persisiran pantai Kampung Pasir Putih.

Sementara itu Jabatan Laut Wilayah Selatan mengesahkan kira-kira 1 tan metrik minyak dilaporkan telah dibawa arus menghampiri Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Iskandar yang terletak berhampiran. Janakuasa itu turut membekalkan tenaga elektrik ke kawasan Kuala Lumpur. Jika usaha membendung ancaman minyak terbabit gagal, kemungkinan besar stesen janakuasa itu terpaksa ditutup untuk sementara waktu bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. ''Kita terpaksa bekerja keras dan menambah peralatan untuk mengawal tumpahan minyak daripada terus memasuki kawasan stesen janakuasa elektrik itu,'' kata Ketua Bahagian Keselamatan Pelayarannya, Azizudin Mohamad. MSE dalam kenyataannya hari ini pula berkata, tumpahan minyak itu dipercayai berpunca daripada kontraktor limbungan yang sedang menjalankan kerja-kerja membaik pulih sebuah kapal di limbungan darat MSE.
Menurut laporan semalam, kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada kecuaian pekerja membuka paip tangki kapal pengangkut minyak itu dengan menyangkanya ia saluran air, tanpa menyedari ia sebenarnya paip minyak.

Dalam pada itu, Kerajaan Johor kesal kerana MSE tidak melaporkan segera kejadian tumpahan minyak itu. Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr. Chua Soi Lek berkata, Jabatan   Alam Sekitar (JAS) hanya mengetahui tumpahan minyak itu berdasarkan aduan daripada Jabatan Perikanan yang mengesannya ketika membuat rondaan udara untuk mengesan dugong di kawasan perairan negeri ini. Katanya, kerana tiada laporan awal itu menyebabkan kawasan yang tercemar akibat tumpahan tersebut agak luas, manakala kerja-kerja mengawal pencemaran dan pembersihan tidak dapat dilakukan segera. ''Tumpahan minyak dilaporkan berlaku kira-kira pukul 1 petang, manakala JAS mengetahui mengenai perkara itu kira-kira pukul 4.30 petang. ''MSE langsung tidak memaklumkan mengenai tumpahan tersebut. JAS mengetahui mengenai perkara itu berdasarkan aduan Jabatan Perikanan,'' ujarnya.


Oleh: FAUZIAH AROFF, HABIBAH OMAR dan BAZLI ABDUL RAHMAN
Sumber: Utusan Malaysia Online 27/3/1999


7,000 tan minyak tumpah dekat Malaysia….


Setakat ini, Jabatan Laut di Pelabuhan Klang telah mengambil tindakan segera dengan menghantar kapal Lang Merah ke perairan Johor untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Di Johor Bahru pula, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor dan Jabatan Laut Wilayah Selatan telah menjalankan langkah perlu ekoran kejadian tumpahan minyak itu.

Pengarah JAS negeri, Tengku Bakry Shah Tengku Johan berkata, pihaknya akan mengawasi perkembangan minyak itu dari semasa ke semasa.
''Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Laut untuk mengambil langkah perlu jika didapati minyak itu semakin hampir dengan perairan Malaysia,'' katanya semasa dihubungi.

Sehubungan itu, katanya, JAS negeri juga akan membuka pejabatnya esok walaupun Johor cuti umum sempena Hari Hol Almarhum Sultan Ismail, ekoran peristiwa tumpahan minyak itu.
Dalam kejadian yang berlaku subuh ini, sebuah kapal tangki yang didaftarkan di Panama terkandas menumpahkan sekurang-kurangnya 7,000 tan metrik minyak mentah.

Agensi berita IFAPNF melaporkan minyak masih keluar dari kapal itu selepas enam jam ia terkandas di perairan Indonesia, kira-kira lapan kilometer di tenggara Singapura, kata jurucakap pihak berkuasa pelabuhan dan maritim Singapura, Ong Chong Peng.
Tiada kecederaan dilaporkan di kalangan 32 anak kapal Natuna Sea seberat 51,095 tan itu.
Punca kejadian masih belum diketahui dan tiada maklumat mengenai asal dan tujuan kapal tangki malang itu.

Ong berkata, sebuah syarikat swasta telah meletakkan penghalang minyak bagi mengelakkan tumpahan tersebut daripada merebak.
Beliau berkata, kapal pembersih negara itu sudah bersedia jika diminta membantu, atau sekiranya minyak tumpah itu memasuki perairannya.
Menurut Tengku Bakry lagi, jika tumpahan minyak itu masuk ke perairan Malaysia, kawasan yang akan menerima kesan ialah Pengerang di Kota Tinggi kerana terletak berhampiran dengan Singapura.
Katanya, pihaknya akan membuat susulan dari semasa ke semasa dan akan menubuhkan satu urus setia serta-merta mengikut pelan kecemasan negara jika tumpahan minyak itu didapati telah masuk ke perairan Malaysia dan merebak ke Johor.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Dr. Chua Soi Lek pula berkata, nelayan atau kapal-kapal dagang yang ternampak tumpahan minyak di perairan negeri ini diminta menghubungi JAS bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
Jurucakap Jabatan Laut Johor pula berkata, pihaknya akan menghantar satu skuad dari Johor Bahru untuk bertindak segera sekiranya tumpahan itu memasuki perairan negeri ini.

Sementara itu di Kuala Lumpur, jurucakap Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Malaysia (MRCC) ketika dihubungi berkata, kejadian itu tidak akan menjejaskan perairan Malaysia.
Katanya, kesemua tumpahan itu telah berjaya ditenggelamkan setelah pihak Singapura turut menggunakan pesawat udaranya dengan kerjasama Marin Port Authority (MPA) untuk mengawalnya dari merebak ke kawasan lain.
Katanya, melalui faks yang diterima daripada pihak berkuasa Singapura yang dihantar pada pukul 4.34 petang ini, kejadian tumpahan tersebut telah berjaya dikawal.
''Pihak berkuasa Singapura memaklumkan tumpahan itu tidak membahayakan setelah ia ditenggelamkan ke dasar laut.
''Bagaimanapun MPA masih melakukan pemantauan untuk memastikan saki-baki tumpahan tersebut benar-benar bersih,'' katanya.

ARKIB : 16/10/2000


Sumber: Utusan Malaysia Online



* Tumpahan minyak yang disebabkan pergerakan kapal-kapal menyebabkan kerosakan kepada alam sekitar. Selain memudahkan pergerakan barangan ke sesuatu destinasi namun kesannya tetap ada. Tumpahan minyak memerlukan kerja-kerja pembersihan dengann kos yang tinggi. Hal ini merugikan sesebuah negara yang mengalami masalah seperti di atas. Kesan globalisasi ada kebaikan dan keburukannya tersendiri. 

0 comments:

 
◄Design by Pocket, BlogBulk Blogger Templates